myMetro | Usah keliru kod E makanan


KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan
tidak percaya dengan khabar angin yang mendakwa semua produk makanan yang menggunakan bahan bermula dengan kod E adalah tidak halal.
Ini kerana setiap kod bahan makanan yang bermula dengan E mewakili bahan tertentu dan sudah diklasifikasikan kepada kategori masing-masing iaitu pewarna, perasa dan pengemulsi.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha (gambar) berkata, kod yang sering menimbulkan keraguan kepada pengguna adalah E471 dan E110 kerana didakwa mengandungi bahan meragukan serta tidak halal.
Katanya, bahan yang terbabit dalam kod berkenaan ada dua sumber iaitu lelemak haiwan dan tumbuhan, yang menimbulkan keraguan kepada pengguna.

“Sebagai contoh, bahan makanan yang bermula dengan kod E471 daripada kategori pengemulsi sering menjadi kontroversi kerana di luar negara sumber E471 datang daripada lelemak haiwan dan berkemungkinan lemak babi. Tetapi, di negara ini, lelemak tumbuhan digunakan untuk bahan E471 iaitu daripada kelapa sawit,” katanya.

Katanya, penggunaan lelemak tumbuhan tidak perlu diragui kerana ia pasti halal dan kebanyakan produk menerima pengesahan daripada Jakim dan agensi halal yang diiktiraf. Bagi produk yang tidak mempunyai logo halal, boleh merujuk kepada sumber bahan itu sama ada berasaskan tumbuhan atau haiwan kerana ia tertera di setiap label produk. Selain itu, bagi bahan kod E100 hingga E173, Jakim telah mengklasifikasikan sebagai bahan pewarna, sama ada sumber semula jadi atau tiruan yang tiada kena mengena dengan penggunaan lemak atau minyak.
Othman berkata, pengguna perlu bijak menilai setiap maklumat dan merujuk kepada Jakim atau pihak yang berkenaan supaya tidak timbul salah faham di kalangan pengguna terhadap kandungan sesuatu produk makanan.

Katanya, pengguna boleh merujuk kepada laman sesawang Halal Jakim, www.halaljakim.gov.my dan Halal Malaysia www.halal.gov.my untuk mendapatkan keterangan lanjut atau mempunyai keraguan mengenai status halal sesuatu produk.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/30


baca : http://melakahalalhub.weebly.com/uploads/5/5/6/1/5561940/makanan_ber_kod-e_halal_...pdf 



والله أعلم بالصواب

No comments: